Saturday 6 August 2011

TAJUK : PENGALAMAN MENGERJAKAN HAJI RUKUN ISLAM YANG KELIMA
Disediakan Untuk : Ustaz Abd Aziz Bin Harjin
Disediakan Oleh : Mohd Fazrul Bin Basri
NO. Matrik : 2010525069
Kod Program : AS115
Program : Diploma Kimia Perindustrian
Kumpulan : ASD2Ag



ISI KANDUNGAN

  • Tajuk
  • Isi Kandungan
  • Abstrak
  • Pendahuluan
  • Konsep
  • Huraian
  • Penutup
  • Bibliografi



PENDAHULUAN






Bismillahhirahmanirahim dan Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarokatuh.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW. Syukur Alhamdulillah kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya saya dapat menyiapkan tugasan esei CTU151 ini.

Di samping itu juga, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah matapelajaran CTU151 iaitu Ustaz Abdul Aziz Harjin kerana memberi tunjuk ajar dan panduan kepada saya untuk menyiapkan tugasan esei ini.

Bagi tugasan esei ini, saya telah memilih tajuk yang berkaitan dengan haji dan saya juga telah menemurah seseorang daripada ahli keluarga saya sendiri iaitu MUHAMMAD ALI untuk menyiapkan tugasan esei ini.

Saya berharap agar hasil kerja esei yang telah saya siapkan ini dapat sedikit sebanyak memberi pengetahuan, dijadikan sebagai panduan dan rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin mengetahui lebih mendalam mengenai rukun Islam kita yang kelima iaitu haji.





ABSTRAK



Ibadat Haji adalah merupakan Rukun Islam yang kelima, wajib dikerjakan oleh umat Islam yang berkemampuan dari segala aspek seperti kesihatan dan kewangan untuk mengunjungi Baitullah Al- Haram dalam bulan-bulan haji untuk mengerjakan tawaf, sai’e dan wukuf di padang Arafah dengan mengikut syarat-syaratnya serta menunaikan segala perkara yang diwajibkan. Mengikut perngetian dari segi bahasa, haji ialah untuk mengunjungi.

Pengertian dari segi istilah syarak ialah mengunjungi Ka’abah untuk beribadat kepada Allah dengan rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu serta pada waktu tertentu. Setiap orang Islam yang berkemampuan wajib mengerjakan haji hanya sekali seumur hidup.

Firman Allah SWT:
(ولله على الناس حج البيت من استطاع إليه سبيلا ومن كفر فإن الله غني عن العالمين)

Ertinya: "Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap manusia (orang-orang mukmin) pergi mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Barangsiapa yang kufur (ingkar), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada pihak lain (alam)."

Sabda Rasulullah SAW yg bermaksud:

“ Wahai umatku semua, sesungguhnya Allah SWT memfardhukan ibadat haji kepada kamu, oleh itu kamu hendaklah mengerjakan ibadat haji.”

Daripada hadis di atas, imam-imam bersependapat bahawa ibadat haji adalah fardhu, malah ia adalah Rukun Islam yang kelima.

Ibadat haji mempunyai hikmah yang tersendiri. Yang pertama, ianya membentuk dan menyemaikan semangat persamaan antara berbagai-bagai bangsa dan kaum serta memupuk perasaan sama taraf ke dalam jiwa setiap mukmin di dunia.





KONSEP



Sabda Rasulullah SAW yg bermaksud:

“ Wahai umatku semua, sesungguhnya Allah SWT memfardhukan ibadat haji kepada kamu, oleh itu kamu hendaklah mengerjakan ibadat haji.”

Daripada hadis di atas, imam-imam bersependapat bahawa ibadat haji adalah fardhu, malah ia adalah Rukun Islam yang kelima.

Sepertimana Rukun Islam yang lain seperti solat, puasa dan zakat, ibadat haji wajib dikerjakan dengan segera apabila seseorang itu sudah mencukupi syarat-syaratnya, khasnya memiliki kesihatan yang terjamin dan perbelanjaan yang cukup. Jika dilambatkan, maka ia menanggung dosa kerana melalaikannya.

Lebih ditakuti ialah jika mati sebelum menunaikan fardhu haji, maka tidak sempurnalah Rukun Islam yang dikerjakannya. Adalah lebih baik dan lebih sempurna mengerjakan haji semasa umur muda dan kuat tubuh badan kerana keadaan dan persekitaran di tanah suci Mekah.

Syarat wajib mengerjakan haji adalah:
  1.         i.            Islam. Tidak wajib dan tidak sah bagi orang kafir.
  2.       ii.            Berakal. Tidak wajib ke atas orang gila atau tidak waras.
  3.     iii.            Baligh iaitu meningkat dewasa. Tidak wajib ke atas kanak-kanak.
  4.      iv.            Merdeka. Tidak wajib atas hamba sahaya.
  5.        v.            Berkuasa/Berkemampuan:

·         Berkuasa atau mampu mengeluarkan belanja tambang dan kos lain dari mula mengerjakan haji hingga akhir.
·         Mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saran nafkah haji bagi orang yang di bawah tanggungannya.
·         Ada kenderaan pergi dan balik.
·         Aman dalam perjalanan, tidak merbahaya yang boleh mengancam keselamatan diri dan harta.
·         Sihat tubuh badan.
·         Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah.

Rukun Haji:

  •         i.            Ihram(niat mengerjakan haji)
  •       ii.            Wukuf di padang Arafah
  •     iii.            Tawaf
  •      iv.            Sai’e
  •        v.            Bercukur
  •      vi.            Tertib


Wajib Haji:

  •         i.            Ihram(niat di Miqat)
  •       ii.            Bermalam di Muzdalifah
  •     iii.            Bermalam di Mina
  •      iv.            Melontar ketiga-tiga Jumrah al-Aqabah
  •        v.            Meninggalkan segala yang diharamkan dalam Ihram.


Haji terbahagi kepada tiga iaitu:

  •         i.            Haji Ifrad

Ifrad maknanya ‘berasingan’ jadi haji ifrad itu ialah mengerjakan haji dan umrah secara berasingan. Haji dikerjakan dahulu hingga selesai dan kemudian barulah dikerjakan umrah dalam tahun itu juga.

  •       ii.            Haji Tamattu’

Tamattu’ maksudnya bersenang-senang jadi haji tamattu’ itu ialah mengerjakan umrah lalu bersenang-senang dengan sebab tidak terikat lagi dengan pantang larang ihram. Kemudian setelah sampai waktu haji berihramlah untuk mengerjakan haji pula. Haji jenis ini dikenakan dam mengikut syarat-syaratnya.

  •     iii.            Haji Qiran

Qiran ertinya bersama-sama jadi haji qiran itu dikerjakan kedua-dua haji dan umrah serentak iaitu dengan satu tawaf, satu sai’e dan satu bercukur kerana kerja-kerja umrah itu dimasukkan dalam kerja-kerja haji. Haji cara ini juga diwajibkan melaksanakan dam.


Ibadat haji mempunyai hikmah yang tersendiri. Yang pertama, ianya membentuk dan menyemaikan semangat persamaan antara berbagai-bagai bangsa dan kaum serta memupuk perasaan sama taraf ke dalam jiwa setiap mukmin di dunia.

Semangat persamaan ini disemaikan melalui memakai pakaian ihram dalam masa yang sama, pada tempat yang sama dan bagi masa yang agak lama. Dengan diwajibkan memakai hanya dua helai kain, satu untuk diikat di pinggang sebagai menutup aurat dari pusat hingga ke kai dan sehelai lagi untuk diselimutkan di badan, maka akan lenyaplah perbezaan di antara yang berpangkat dan berdarjat dengan orang biasa, di antara orang kaya dengan orang miskin, di antara orang Arab dengan orang bukan Arab dan sebagainya.

Semuanya mempunyai taraf dan darjat yang sama sebagai seorang hamba Allah yang menyerahkan diri kepada Allah serta dipenuhi dengan ucapan taqdis, takbir, tahmid, tasbih dan juga doa. Dengan itu pangkat, kelas, harta dan darjat adalah diketepikan.

Rasululluah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“ Kamu sekalian dari Adam. Dan Adam dari tanah, tidak ada keutamaan bagi seorang Arab atas Ajan (orang yang bukan Arab) melainkan taqwanya kepada Allah.”

Dengan tertanamnya sikpa persamaan antara semua jenis manusia di dunia ini maka hilanglah sifat kebanggaan dan keangkuhan dari diri mereka kerana setiap umat Islam di dunia adalah bersaudara. Menyuburkan perasaan persaudaraan, kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan umat Islam adalah konsep hidup Islam yang sejati.

Oleh yang demikian, di antara hikmah yang terpenting dalam ibadat haji ialah persaudaraan, perpaduan dan kesetiaan antara seluruh umat dari berbagai-bagai bangsa yang berada di tanah suci Mekah ketika menunaikan fardhu haji di mana setiap orang hendaklah mempunyai sifat rela berkorban demi mengeratkan tali persaudaraan dan perpaduan.
Perpaduan menurut Islam ialah perpaduan dalam aqidah Islamiah dan bukan atas asas yang lain, seperti keturunan, kedudukan iklim, kebudayaan dan sebagainya.

Selain dari itu, ibadat haji juga melatih diri kita supaya bersifat sabar, tekun dan cergas dalam melaksanakan perintah Allah. Sabar menghadapi berbagai cubaan dan dugaan serta rintangan dalam melaksanakan ibadat haji. Oleh kerana itu, siapa yang bersabar menanggung satu saat panas di siang hari Mekah, Allah akan menjauhkan dia 100 tahun lamanya dari neraka dan demikian juga siapa yang bersabar dari menderita sakit sehari di Mekah, Allah akan tuliskan pahala amal soleh yang dilakukannya di luar Mekah selama 60 tahun.

Musim haji merupakan satu perjumpaan agung bagi umat Islam dari seluruh pelusuk dunia di mana selain dari berkenalan antara satu sama lain, dapat pula membincangkan hal ehwal umat Islam mengenai perpaduan, persaudaraan, kerjasama, musihat dan kebajikan mereka bersama. Dengan melakukan demikian, maka tersebarlah konsep hidup Islam yang sejati.






HURAIAN



Pada bulan lepas, saya telah menemuramah seseorang yang pernah mengerjakan ibadat haji iaitu bapa saudara saya yang bernama Mohamad Ali. Beliau ahir pada 16 Mei 1957 dan berasal dari Kuching, Sarawak. Beliau yang berusia 54 tahun ini lebih dikenali oleh keluarga dengan nama panggilan ‘Unggal Ali’. Beliau sudah berkahwin dengan isteri beliau yang bernama Jannah Basir yang berusia setahun lebih muda. Berkat daripada perkahwinan ini, beliau telah dikurniakan dengan 5 orang cahaya mata dan semuanya sudah dewasa.


Berbalik kepada objektif asal esei ini, bapa saudara saya pernah menunaikan ibadat haji pada tahun 2006. Beliau menyatakan bahawa pengalaman menunaikan haji adalah sebagai pengalaman yang paling berharga dalam seumur hidupnya. Berpeluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah buat pertama kalinya membuatkan beliau berasa sangat-sangat bersyukur ke hadrat ilahi kerana diberi peluang seumpama ini. Dengan ini, saya akan menceritakan sedikit sebanyak pengalaman beliau semasa mengerjakn ibadat haji ini.

Selepas bertolak dari tanah air, beliau tiba dengan selamat di Jeddah bersama-sama dengan rombongan dari negara-negara lain yang ingin mengerjakan rukun Islam yang kelima ini. Semasa di dalam lapangan terbang, setiap para jemaah diperiksa untuk menjamin keselamatan menunaikan ibadah haji dan berehat sebentar selepas penerbangan yang mengambil masa 9-10 jam. Selepas itu, para jemaah memulakan perjalanan ke Madinah dengan menggunakan bas. Setiap bagasi-bagasi yang besar diletakkan di atas bas. Jarak perjalanan dari terminal lapangan terbang Jeddah ke Madinah adalah lebih kurang 500km. Bas bertolak pada waktu malam supaya jemaah boleh berehat di dalam bas. Setibanya di Madinah, para jemaah tinggal di Madinah untuk beberapa hari dan terus bertolak ke Mekah.

Bagi bapa saudara saya dan para jemaah yang datang dari Malaysia, mereka berniat ihram di miqat. Mereka datang dari Madinah, oleh itu miqat makani bagi mereka adalah Zulhulaifah @ Bi’ru Ali (450KM dari Mekah). Semua para jemaah harus mengenakan pakaian ihram iaitu helaian kain lepas, kain yang tidak dijahit dan tidak dicantum yang bewarna putih. Para jemaah mula bertolak meninggalkan kota Mekah pada 8 Zulhijjah menuju ke Padang Arafah untuk wukuf di padang Arafah.

Selesai tiba di sana, pakcik saya dan para jemaah yang lain disediakan khemah oleh kerajaan Arab Saudi mengikut bilangan yang telah ditetapkan. Semua jemaah tidur dan berehat di khemah masing-masing. Keesokannya, selepas menunaikan solat subuh, semua para jemaah bersiap sedia untuk menjalankan ibadat wukuf di padang Arafah. Wukuf beerti berada di padang Arafah bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah hingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah mengikut syarat-syarat sahnya serta mengamalkan sunat-sunatnya. Sepanjang wukuf di padang Arafah, pakcik saya memperbanyakkan bertalbiah, bertasbih, berzikir, bertahmid, bertakbir, bertahlil, berdoa dan berselawat.

Selepas masuk waktu maghrib, semua para jemaah mula bergerak ke Muzdalifah. Di Muzdalifah, pakcik dan jemaah haji yang lain hendaklak mabit iaitu dengan berada di bumi Muzdalifah mulai separuh malam 10 Zulhijjah hingga sebelum terbit matahari pada waktu yang sama. Sepanjang di Muzdalifah, pakcik bertalbiah kerana ianya disunatkan serta berdoa dan berzikirkerana pakcik memberitahu bahawa Muzdalifah adalah salah satu tempat daripada tempet yang mustajab untuk berdoa. Di musdalifah jugak, pakcik juga mengumpulkan anak batu untuk digunakan ketika melontar jamrah pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Seterusnya, rombong jemaah haji pakcik mula bergerak ke Mina. Setiap rombongan ditempatkan di dalam khemah yang disediakan dan mengikut bilangan yang ditetapkan.

Seterusnya, para jemaah dan pakcik melontar Jumrah Aqabah. Pakcik menyatakan agak sukar untuk melontar Jumrah Aqabah kerana keadaan yang sesak dengan jemaah dari negara lain. Selepas itu, pakcik melakukan tahallul awal, iaitu bercukur atau bergunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut di kepala. Selepas melontar jumrah dan tahallul, pakcik mengerjakan tawaf ifadhah iaitu mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan. Semasa tawaf, bahu hendaklah selari dengan kaabah dan kusyuk jelas pakcik. Selepas itu, pakcik mengerjakan sai’e iaitu ulang alik dari bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Seterusnya, pakcik pulang semula ke Mina untuk mengerjakan wajib haji iaitu bermalam di Mina. Selama tiga hari di Mina, para jemaah diwajibkan melontar ketiga-tiga Jumrah pada tiap-tiap hari, dimulai dengan Jumrah Ula, Jumrah Wusta dan Jumrah Aqabah. Setiap Jumrah dilontar dengan tujuh biji batu. Semasa melontar, wajib melontar dengan gaya melontar dan batu hendaklah suci.

Kemudian, selesai semua wajib haji, pakcik menyempurnakan ibadat haji beliau dengan memperbanyakkan berzikir, bertasbih, berdoa dan sebagainya. Beliau mengerjakan tawaf Wida’ kerana hendak berangkat pulang ke Madinah. Selepas tawaf, pakcik berdoa di Multazam dan minum air zam-zam. Selesai semua rukun dan wajib haji telah dikerjakan, pakcik dan rombongan haji beliau. Kemudian pakcik mengemas barang dan bersedia untuk pulang ke tanah air. Beliau telah mengumpul air zam-zam sebagai cenderahati untuk dibawa pulang ke tanah air.

Ini adalah sedikit sebanyak pengalaman yang diceritakan oleh beliau semasa mengerjakan ibadat haji. Berdasarkan pengalaman beliau, ianya cukup ringkas dan diharap ianya dapat dijadikan sebagai panduan untuk bakal-bakal haji yang akan mengerjakan haji pada masa akan datang.







PENUTUP

Secara amnya, ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima. Ianya dituntut kepada sesiapa yang berkemampuan sahaja dan diwajibkan mengerjakannya sekali dalam seumur hidup. Bulan haji adalah bulan Zulhijjah. Pada bulan ini, seluruh umat Islam akan menunaikan ibadah haji. Maka beruntunglah mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah S.W.T pada bulan ini.

Haji dikatakan sebagai puncak pengabdian, pengorbanan dan lambing ketauhidan yang paling mulia dan unggul. Kelebihan ibadah haji adalah terhapus segala dosa seperti hari kita dilahirkan oleh ibu kita.

Haji juga mengajar kita tentang kesusahan yang menimpa Siti Hajar dan Ismail yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di padang pasir tidak ada tanaman dan tidak berpenghuni. Hajar dengan keimanannya yang tinggi menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Kejadian ini juga mengingatkan kita tentang keperitan Siti Hajar yang berlari ulang alik antara bukit Safa dan Marwah untuk mencari air bagi putranya Ismail.

Tidak lupa juga mengenai kisah penyembelihan agung dimana Nabi Ibrahim bermimpi diperintahkan oleh Allah S.W.T untuk menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail. Tetapi dengan tahap keimanan dan ketakwaan yang tinggi terhadap Allah S.W.T, Nabi Ismail menerima akan perintah Allah. Tetapi dengan kekuasaan Allah S.W.T, berkat ketaatan Nabi Ibrahim menjalankan perintah Allah membalaskan balasan yang setimpal. Malaikat turun dari langit membawa seekor kibasy untuk disembelih bagi menggantikan Nabi Ismail.

Begitulah contoh yang sepatutnya kita ikuti berikutan daripada peristiwa haji ini. Kita hendaklah mengikut dan melaksanakan perintah yang dikehendaki oleh Allah S.W.T seperti patuhnya Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail kepada Tuhan. Kita sepatutnya meniru dan mencontohi ketakwaan Nabi Ibrahim serta keluarganya dan mengambil iktibar daripada peristiwa haji. 



BIBLIOGRAFI

  • Johari Haji Alias, 1995, Panduan Ibadah Haji, Umrah dan Ziarah
  •  
  • Haji Mohd. Hamidi bin Haji Abdul Hamid, 2009, Haji Ibadah Penyaksian Dakwah
  •  
  • Ustaz Dato’ Ismail Kamus, 2003, Panduan Ibadah Haji dan Umrah
  •  
  • Al-Qaradawi Yusuf, 1983, Matlamat dan Tujuan Ibadah dalam Islam
  •  
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Haji
  •  
  • http://www.islam101.com/hajj/index.htm



No comments:

Post a Comment